Sunday 1 January 2023

Kroni Anwar

 02 MAY 1999 

Mahathir-Kroni 

DR MAHATHIR ADA BUKTI TENTANG KEKAYAAN KRONI ANWAR JITRA, 2 Mei (Bernama)

 -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau mempunyai bukti berhubung pemilikan harta dan perolehan kontrak-kontrak besar oleh kroni-kroni bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata beliau mengetahui perkara itu berdasarkan borang pengistiharan harta dan senarai nama kontraktor yang diberikan projek-projek besar. "Saya memang tahu kedudukan mereka. Sebagai contoh bekas setiausaha politik, setiausaha-setiausaha Anwar. Kita dapat tahu daripada borang pengisytiharan harta," katanya pada persidangan berita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, dekat sini. 

 Borang pengisytiharan harta biasanya diisi oleh pegawai kerajaan, wakil rakyat, exco, menteri besar dan menteri kabinet. "Seorang kroni yang dibentuk oleh Anwar untuk menggulingkan saya, saya mendapati beliau mempunyai wang tunai lebih RM230 juta," katanya pada persidangan berita itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur setelah mengakhiri lawatan tiga hari ke Kedah. 

 Pada ucapan perasmian persidangan perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu, di sini semalam, Perdana Menteri yang juga Ketua Bahagian itu mendedahkan terdapat kroni seorang bekas pemimpin negara mempunyai wang sebanyak RM230 juta. Ditanya pemberita siapakah orang berkenaan, Dr Mahathir berkata beliau enggan menamakan orang itu tetapi sekadar menyebut dia adalah bekas pemimpin Umno dan pernah menjadi pengerusi beberapa syarikat. "Beliau adalah orang yang cukup rapat dengan Anwar dan digunakan oleh Anwar untuk membuat saya tidak popular dengan melemparkan pelbagai tuduhan kononya pemerintahan saya korup dan mengamalkan nepotisme. "Sebenarnya, yang mempunyai kroni yang jelas dan nyata adalah Anwar Ibrahim, orang yang mendapat kontrak-kontrak besar terdiri daripada penyokong-penyokongnya," katanya. 

 Dr Mahahthir berkata apabila beliau bertanya kepada Anwar mengapa orang itu boleh memiliki wang sebegitu banyak, Anwar dengan nada terkejut memberitahu "beliau tidak tahu." Perdana Menteri berkata beliau memang menyedari kedudukan mereka itu termasuk beberapa kroni Anwar yang telah diberi keutamaan dalam sesuatu projek. Katanya beratus orang yang disenaraikan sebagai kontraktor tetapi hanya orang tertentu sahaja yang dapat projek. "Kerana itu saya terpaksa mengeluarkan senarai mereka yang berjaya mendapat kontrak kerajaan pada persidangan agung Umno yang lepas dan akhirnya terbukti orang yang banyak mendapat kontrak adalah terdiri dari orang Anwar," katanya. 

 Ditanya pula adakah beliau akan meminta Badan Pencegah Rasuah menjalankan siasatan berhubung perkara itu, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menyiasat dan sekiranya pemilikan harta itu dilakukan dengan cara yang tidak menimbulkan syak, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan. Ditanya kemungkinan terdapat lagi kekayaan golongan itu yang tidak dapat dikesan oleh kerajaan seperti simpanan di luar negara, Perdana Menteri berkata ia mungkin berlaku. Dr Mahathir berkata bekas timbalan perdana menteri itu telah mengarahkan beberapa syarikat supaya mengambil orangnya sebagai pengarah di syarikat mereka dengan dibayar gaji yang tinggi. 

 Sebagai contoh, katanya, penulis ucapan Anwar, Dr Munawar Anees yang telah dihukum penjara enam bulan kerana didapati bersalah dalam kes liwat, dibayar gaji yang tinggi oleh New Straits Times atas arahan Anwar sedangkan Dr Munawar bekerja untuk Anwar. 

 Diminta mengulas mengenai kritikan beberapa perwakilan pada persidangan bahagian itu semalam terhadap beberapa projek yang dilaksanakan oleh Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid yang didakwa tidak berfaedah, Dr Mahathir berkata mereka sebenarnya tidak faham dan tidak mendapat penerangan yang jelas mengenai objektif dan faedah projek berkenaan. Antara projek yang dikritik hebat adalah projek menanam padi atas bumbung di Paya Pahlawan, di sini, yang didakwa tidak sesuai dan hanya membazirkan wang rakyat. Sambil mengakui projek di Paya Pahlawan itu adalah hasil idea beliau, Perdana Menteri berkata beliau melihat kawasan itu, yang berpaya, sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan. Katanya sebelum menarik pelancong, persediaan perlu diadakan terlebih dahulu dengan menyediakan segala kemudahan yang boleh menjadi tarikan seperti tempat rekreasi air. "Masalahnya sekarang orang yang tidak faham, telah mereka cerita yang dahsyat sehingga orang lain terpengaruh dengan cerita itu," katanya. Mengulas cadangan seorang anggota perwakilan supaya Sanusi diganti dengan orang lain, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak suruh beliau berhenti". Beliau berkata dalam Umno memang ada orang yang tidak berpuashati dengan seseorang pemimpin dan jalan mudah adalah dengan menyuruh pemimpin itu berhenti dan menggantikan dengan orang yang mereka suka.

 -- BERNAMA MZM+JM RON


(http://lib.perdana.org.my/PLF/Digital_Content/Prominent_Leaders/Mahathir/News_1968-2004/1999-2000/1999aj/dr%20mng%20kekayaan%20kroni%20anwar.PDF)

No comments:

Post a Comment

Siapa Anwar Ibrahim 5